HADIS 40 : HALAL DAN HARAM DALAM ISLAM

WARA’ BENTENG DARIPADA YANG HARAM

عن أبي عبدِ اللهِ النُّعمانِ بنِ بَشيرٍ رَضِي اللهُ عَنْهُما قالَ: سَمِعْتُ رسولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يقولُ:

{إنَّ الحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُما أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وعِرْضِهِ، ومَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ، أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى، أَلاَ وإِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُـهُ، أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلاَ وهِيَ الْقَلْبُ

رواه البخاريُّ ومسلمٌ

Maksudnya : Daripada Abi Abdillah bin Nu’man bin Basyir, beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.”

Biodata Perawi

Perawi adalah Nu’man Bin Basyir Bin Saad Bin Sa’labah Bin Khalas. Beliau adalah bayi pertama di lahirkan  di Madinah selepas peristiwa hijrah dan Nabi Muhammad sangat gembira dengan kelahiran Nu’man bin Basyir kerana ia adalah satu bukti pembohongan kepada fitnah yang dilontarkan oleh yahudi. Yahudi mengatakan umat Islam tidak dapat melahirkan di Madinah. Beliau pernah di lantik menjadi qadi di Damsyik dan pemerintah Kufah. Imam Bukhari meriwayatkan enam hadis  dan Imam Muslim meriwayatkan 4 hadis daripadanya. Beliau meninggal dunia ketika berumur 64 tahun.

Makna kalimah

 بين : jelas / zohir

 استبراء : terlepas daripada / bebas daripada

 مشتبهات : diragui / syubhat

 يوشك : mendekati / hampir2

 يرتع : makan / berdiri

 محارمه : maksiat yang diharamkan Allah

 مضغة : segumpal daging

Keterangan Hadis

Nabi Muhammad saw menjelaskan bahawasanya Islam telah menjelaskan perkara yang halal dan haram secara nyata. Namun begitu ada juga perkara-perkara yang tidak jelas atau disebut sebagai syubhat, maka menjadi kewajipan kepada kita untuk menghindari perkara yang syubhat itu kerana ditakuti membawa kepada yang haram. Nabi juga menjelaskan dengan menjauhi yang haram dan syubhat akan menyelamatkan maruah diri dan agama kita. Selain itu, Nabi Muhammad saw memberitahu kita tentang peranan hati manusia bagi manusia.

Halal dan Haram dalam Islam

Didalam kehidupan seharian, kita tidak akan terlepas daripada peraturan dan undang-undang, tidak kira di mana pun kita di berada, sama ada sebagai pelajar, pekerja, bos dan sebagainya. Sesiapa yang melanggar peraturan atau ketetapan yang telah diputuskan maka akan dikenakan denda. Begitulah dalam agama Islam, Allah telah menetapkan hukum hakam kepada hamba-hambanya secara nyata.

Perkara yang halal telah jelas didalam Islam.  Mengikut Imam Malik dan Imam Syafie setiap yang tidak ada dalil mengharamkannya maka ia adalah harus iaitu halal. Adapun perkara yang haram juga telah jelas iaitu perkara-perkara yang dinyatakan didalam Al-Quran, Hadis dan Ijmak Ulama diatas pengharamannya. Oleh kerana ini tiada lagi alasan bagi umat Islam untuk melakukan perkara yang haram kerana semuanya telah dijelaskan hukumnya dan andai dia tetap melakukannya maka dia akan mendapat dosa dan berhak untuk diazab.

Hikmah diharamkan sesuatu bukanlah bertujuan menyusahkan manusia atau menyekat manusia. Tetapi hikmahnya adalah untuk menjaga kehidupan manusia itu sendiri kerana setiap yang diharamkan  mendatangkan kemudaratan kepada manusia seperti  arak, judi, zina dan lain-lain lagi.

Apakah maksud perkara syubhat??

Perkara syubhat adalah perkara yang tidak jelas keadaannya samaada haram atau halal. Perkara itu tidak jelas hukumnya mungkin kerana tidak jelas keadaannya atau mungkin kerana kejahilan seseorang.

Bagaimana berhadapan dengan syubhat??

Seperti mana yang diterangkan diatas, syubhat adalah perkara yang tidak jelas sama ada haram atau halal. Ulama membahagikan perkara syubhat itu kepada 3 bahagian.

1) Sesuatu yang diketahui haram pada awalnya, kemudian diragui hukumnya adakah masih haram atau telah menjadi halal, maka tidak boleh kita mengambilnya kecuali dengan yakin ia telah halal.

2) Sesuatu yang diketahui halal. Kemudian diragui hukumnya adakah telah menjadi haram atau tidak seperti ragu adakah masih dalam berwuduk atau telah batal wuduk. Maka pada ketika ini keraguan itu tidak memberi apa2 kesan kerana asalnya adalah berwuduk.

3) Sesuatu yang tidak diketahui sejak awal keadaanya samaada halal atau haram. Maka pada keadaan ini meninggalkannya adalah jalan yang terbaik. 

Maksud wara’

Perkataan wara’ berasal daripada bahasa arab. Wara’ bererti menahan, menjauhkan atau membatasi. Manakala maksud wara pada agama pula adalah meninggalkan atau menjauhkan dirinya daripada benda-benda tidak jelas hukumnya kerana takut kepada yang haram. Tidak dikatakan seseorang itu wara’ jika dia masih mengekalkan dosa kerana orang yang wara’ bukan sahaja meninggalkan yang haram bahkan perkara yang syubhat juga ditinggalkan kerana tidak jelas hukumnya.

Wara’ Benteng Daripada Haram

Setelah mengetahui maksud wara’, dapat kita ketahui bahawasanya wara’ adalah satu sifat yang terpuji. Wara’ bukanlah pada pakaian atau pada kata-kata tetapi ia lahir daripada hati yang beriman kepada Allah, hati yang suci dan takut kepada Allah. Lalu dia tinggalkan perkara-perkara yang syubhat kerana ingin menjaga agama pada dirinya. Walaupun perkara syubhat tidaklah haram sehingga jelas keadaannya serta tidak berdosa bagi mereka yang mengambilnya tetapi orang yang mempunyai sifat warak tetap meninggalkannya semata-mata takut melakukan apa yang Allah haramkan.

Nabi juga membuat perumpamaan mereka yang selalu mengambil yang syubhat seperti seorang pengembala yang membawa haiwannya makan berhampiran kawasan orang lain. Maka agak susah bagi pengembala tersebut untuk mengawasi haiwannya daripada memakan tanaman orang lain. Begitulah keadaan orang yang selalu mangambil yang syubhat, apabila sudah melazimi perkara itu makan ditakuti dia akan terbuat perkara yang haram tanpa sengaja. Demikianlah sifat warak akan menyelamatkan seorang muslim daripada yang haram.

“Taqwa itu akan sentiasa ada pada seorang hamba selagi mana dia meninggalkan perkara halal kerana takut terjatuh kepada yang haram”

– Hassan al Basri

Hati Itu Raja Manusia

Jika raja lemah maka rakyat serta negara juga akan menjadi lemah dan mundur tetapi jika raja itu gagah dan bijaksana maka rakyat dan negara juga akan maju dan terkehadapan

Itulah perumpaan bagi hati manusia. Hati adalah punca kekuatan manusia. Jika hati telah lemah, lesu, tiada kekuatan untuk berhadapan kehidupan maka segala anggota akan lemah dan menyerah sahaja kepada apa yang berlaku. Tetapi jika hati kuat, gagah, dan bersemangat akan tetaplah segala anggotanya untuk menghadapi apa yang berlaku.

Akan tetapi untuk menjadikan hati itu kuat dan gagah ia itu perlu di isi dengan iman, makrifat dan ilmu. Bukan hanya dengan semangat semata-mata kerana semangat yang tidak diasaskan dengan ilmu dan kefahaman akan hilang. Tanpa iman, makrifat dan ilmu tidak mungkin hati akan bercahaya dan kuat untuk mengawal segala anggota badan yang lain. Hati itu raja bagi anggota badan manusia.

Untuk menguatkan hati perlu juga dihiasi dengan sifat-sifat yang terpuji. Segala sifat yang tercela seperti riak, ujub, takbur, sombong dan lain-lain hendaklah dibuang supaya hati itu tidak hanya baik bahkan mampu menghadapi segala yang berlaku.

Firman Allah :

(یَوۡمَ لَا یَنفَعُ مَالࣱ وَلَا بَنُونَ ۝  إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبࣲ سَلِیمࣲ)

[Surah Ash-Shu’ara 88 – 89]

Maksudnya : “Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, “Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik);

Ibnu rajab mengatakan yang dimaksudkan dengan hati yang salim itu adalah hati yang selamat daripada segala penyakit dan perkara yang dibenci, itulah hati yang dipenuhi dengan sayang dan takut kepada Allah serta menjauhi perkara yang menjauhkan diri daripada Allah.

Pengajaran Hadis

1) Agama Islam telah menjelaskan apa yang halal dan apa yang haram.

2) Wajib bagi seorang muslim menjauhi yang haram.

3) Wara’ adalah satu sifat terpuji yang patut ada pada setiap muslim.

4) Perkara syubhat adalah perkara yang tidak jelas hukumnya samaada halal atau haramnya dan sebaiknya ditinggalkan.

5) Peranan hati kepada manusia, hati yang baik akan menjadikan seorang itu baik dan sebaliknya.

6) Diantara tanda hati yang baik adalah meninggalkan yang syubhat.

Rujukan

  1. Kitab al Jami’ fi Syarhi al Arbain an Nawawiah
  2. Kitab al Jawahir al Luluiah fi Syarhil Arbain an Nawawiah
  3. Kitab al Wafi fi Syarhi al Arbain an Nawawiah
  4. Kitab Al-Anwarul Muhammadiah Syarhil al Arbain an Nawawiah

Like this article?

Share on facebook
Share on Facebook
Share on twitter
Share on Twitter
Share on linkedin
Share on Linkdin
Share on pinterest
Share on Pinterest

Leave a comment