HADIS 40 : RUKUN ISLAM

5 Rukun Islam dan penjelasan sekitarnya.

عنْ أبي عبدِ الرَّحمنِ عبدِ اللهِ بنِ عُمرَ بنِ الخطَّابِ رَضِي اللهُ عَنْهُما قالَ: سَمِعْتُ رسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:

{بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ، وَإِقامِ الصَّلاَةِ، وإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَحَجِّ البَيْتِ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ}

رواه البخاريُّ ومسلمٌ.

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn ‘Umar ibn al-Khatthab r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: ” islam itu terbina atas lima perkara iaitu : Bersaksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Nabi Muhammad itu adalah Utusan Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan menunaikan puasa pada bulan Ramadhan.”   

Biodata Perawi

     Perawi adalah Abdullah bin Umar bin Al Khattab dan digelar sebagai Abu Abdul Rahman. Beliau memeluk islam semasa masih kecil bersama bapanya ketika di Mekah. Beliau pernah meminta untuk menyertai peperangan Badar dan peperangan Uhud tetapi Nabi saw tidak membenarkannya kerana usia nya masih kecil. Kemudian Nabi membenarkan beliau menyertai peperangan Khandak dan beliau menyertai kesemua peperangan selepas daripada itu. Diceritakan Saidina Muawiyah memberikan kepadanya 100,000 dirham tetapi kesemuanya diinfaqkan ke jalan Allah pada tahun yang sama.  Beliau meninggal dunia pada tahun 73 hijrah ketika berumur 84 tahun.

Keterangan Hadis

    Hadis ini merupakan hadis yang agung. Ia adalah salah satu daripada kaedah asas bagi islam dan hukum-hukum agama. Hadis ini mengambarkan Islam ibarat satu rumah yang teguh, terdiri daripada 5 rukun yang wajib bagi setiap orang islam melaksanakan dan menjaganya jika ingin berjaya di dunia dan di akhirat.

Makna Islam

    Perkataan Islam berasal daripada bahasa arab iaitu salima yang membawa makna selamat,keamanan dan ketenangan. Dan ia juga membawa makna tunduk, patuh dan menyerahkan diri pada zahir. Ini adalah islam dengan makna yang umum.

     Adapun Islam dengan makna yang lebih khusus boleh disimpulkan sebagai ajaran dan hukum hakam yang di turunkan oleh Allah kepada manusia melalui Nabi Muhammad yang terdapat didalamnya perintah dan larangan. Tujuan Islam diturunkan adalah untuk mengatur hidup manusia supaya menjadi hamba dan khalifah diatas muka bumi. Maka sesiapa yang menerima apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw disebut sebagai seorang muslim.

Agama islam adalah satu-satunya agama yang diredai oleh Allah saw. Firman Allah saw :

(إِنَّ ٱلدِّینَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَـٰمُۗ وَمَا ٱخۡتَلَفَ ٱلَّذِینَ أُوتُوا۟ ٱلۡكِتَـٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعۡدِ مَا جَاۤءَهُمُ ٱلۡعِلۡمُ بَغۡیَۢا بَیۡنَهُمۡۗ وَمَن یَكۡفُرۡ بِـَٔایَـٰتِ ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ سَرِیعُ ٱلۡحِسَابِ)

[Surah Aal-E-Imran 19]

Maksudnya : Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.

     Agama Islam merangkumi keseluruhan aspek hidup manusia dan tidak hanya terbatas pada aspek-aspek tertentu. Islam adalah peraturan hidup yang sempurna, yang mengatur segala urusan kehidupan manusia samaada urusan berkaitan dengan Allah sebagai pencipta yang disebut sebagai ibadat. Begitu juga segala urusan yang berkaitan sesama manusia yang disebut sebagai muamalat dan munakahat, bahkan Islam juga mengatur urusan yang berkaitan kenegaraan dan pentadbiran iaitu jenayah dan kehakiman. Ini semua menunjukan kesyumulan Islam sebagai cara hidup.

    Seorang yag memeluk islam ertinya dia tunduk, patuh dan menyerahkan dirinya kepada Allah. Bukti penyerahan diri kepada Allah adalah redha menerima segala syariat dan hukum hakam Allah dan mengikut apa yang dsampaikan oleh Nabi Muhammad saw. Tidak sempurna islam seseorang jika hanya menerima sebahagian syariat islam dan menolak setengah yang lain. Inilah yang sering terjadi dalam kalangan umat islam sendiri yang tidak memahami hakikat Islam, lalu mereka terpengaruh dengan idelogi barat seperi sekularisma, liberalisma dan lain-lain. Ideologi ini secara jelas bertentangan dengan agama Islam yang suci. Ketika mana seseorang mengucap dua kalimah syahadah bermakna dia juga mengakui bahawasanya Allah lah yang berhak menetapkan hukum hakam dan dia sebagai hamba tidak layak untuk mempertikaikan perintah Allah.

Firman Allah swt :

(وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنࣲ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥۤ أَمۡرًا أَن یَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِیَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن یَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَـٰلࣰا مُّبِینࣰا)

[Surah Al-Ahzab 36]

Maksudnya : Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata

Firman Allah swt :

(یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱدۡخُلُوا۟ فِی ٱلسِّلۡمِ كَاۤفَّةࣰ وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَ ٰ⁠تِ ٱلشَّیۡطَـٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوࣱّ مُّبِینࣱ)

[Surah Al-Baqarah 208]

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata

Rukun Islam

1) Mengucap dua kalimah syahadah

       Ia adalah rukun islam yang pertama dan syarat utama untuk memeluk agama Islam. Tanpa mengucapkan dua kalimah syahadah seseorang tidak dikira islam walaupun mengerjakan solat atau ibadat yang lain.

Hadis Nabi saw :

( من قال لا إله إلا الله مخلصا دخل الجنة)                                                                     

Maksudnya : Sesiapa yang mengucapkan tiada tuhan melainkan Allah dengan ikhlas akan masuk syurga


Hadis Nabi saw :

أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ، وَيُقِيمُوا الصَّلاَةَ، وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ، فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلاَّ بِحَقِّ الإِسْلامِ، وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللهِ تَعَالَى

Maksudnya : Aku di perintahkan untuk memerangi manusia sehinggalah bersaksi tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan nabi muhammad pesuruh Allah, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Maka sesiapa yang melakukan demikian itu terpelihara darah mereka dan harta mereka kecuali dengan hak islam dan perhitungan mereka diserahkan kepada Allah.

       Hadis secara jelas menunjukkan bahawa kalimah syahadah adalah syarat utama untuk memeluk agama Islam. Mengucap dua kalimah syahadah bukanlah semata-mata di lisan tetapi mestilah disertai dengan kepercayaan dan keyakinan yang jazam(100%) terhadap kalimah yang diucapkan iaitu tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Apabila seseorang telah mengucapkan dua kalimah syahadah maka wajib keatas orang islam yang lain untuk menunaikan hak orang islam keatasnya. Mengucap dua kalimah syahadah bermakna seseorang telah mengisytiharkan bahawa dirinya adalah seorang muslim iaitu tunduk dan patuh kepada Allah.

Makna Hamba?

      Makna kalimah syahadah adalah tiada tuhan yang disembah melainkan Allah. Tetapi apakah makna sembah yang dimaksudnya didalam kalimah syahadah?
      Perkataan hamba merupakan satu kalimah yang hina jika disandarkan kepada manusia kerana ia menjadikan seseorang itu hina. Ini juga kerana, seorang itu menjadi hamba kepada seorang manusia lain yang sama sepertinya. Adapun menyandarkan kehambaan kepada Allah ia adalah satu kemulian kerana sememangnya kita adalah hambanya dan Dia adalah tuhan kita, kerana Dialah yang mencipta dan mentadbir seluruh alam

     Seorang yang menjadi hamba mestilah mentaati segala perintah tuannya, demikianlah kita selaku hamba Allah mestilah taat dan patuh kepada perintah Allah. Seorang yang hanya mentaati perintah Allah pada perkara-perkara tertentu sahaja bermakna dia belum menunaikan hak kehambaan dengan sepenuhnya.

2) Mendirikan solat 5 waktu

     Solat merupakan tiang agama dan simbol pengabdian kita selaku hamba kepada Allah sebagai pencipta. Yang dimaksudkan didalam hadis ini adalah mendirikan dan manjaga solat dengan menunaikannya pada waktunya dan memenuhi rukun dan syarat-syaratnya. Solat merupakan tiang agama seperti yang dibersabdakan oleh Nabi Muhammad saw :

الصلاة عماد الدين فمن أقامها فقد أقام الدين و من تركها فقد هدم الدين                                   

Maksudnya : Solat itu adalah tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat dia telah mendirikan agama (pada dirinya) dan sesiapa yang meninggalkan solat maka dia telah meruntuhkan agama (pada dirinya)”.

     Solat 5 waktu difardhukan dalam peristiwa agung iaitu israk mikraj. Ia menunjukkan keistimewaan solat berbanding ibadat yang lain kerana Nabi saw menerima kefardhuan solat di langit. Solat 5 waktu juga merupakan ibadat yang paling awal difardhukan kepada umat islam iaitu sebelum hijrah berbanding ibadat-ibadat lain.  

Sabda Nabi saw :

قال رسول الله ﷺ: إن بين الرجل وبين الكفر ترك الصلاة                                                                                                                                             

Maksudnya : telah bersabda nabi muhammad saw : sesungguhnya diantara lelaki dan kekufuran adalah meninggalkan solat.

Apakah hukum meninggalkan solat??

      Ulama bersepakat bahawa orang yang mengingkari kefardhuan solat iaitu mengatakan solat tidak wajib atau mempersendakan solat adalah kufur dan boleh menjadi murtad. Manakala bagi orang yang tidak mendirikan solat tetapi tidak mengingkari kewajipan solat seperti orang yang malas adalah berdosa besar dan wajib baginya mengganti solat yang ditinggalkannya.

Celaka bagi orang yang solat?

        Ini adalah satu persoalan yang sering diungkapkan oleh orang ramai kerana silap memahami ayat Al-Quran. Untuk memahami ayat Al Quran tidak memadai hanya membaca terjemahan ayat bahkan perlu membaca dan mengkaji tafsiran para ulama.

Firman Allah saw

(فَوَیۡلࣱ لِّلۡمُصَلِّینَ ۝  ٱلَّذِینَ هُمۡ عَن صَلَاتِهِمۡ سَاهُونَ ۝  ٱلَّذِینَ هُمۡ یُرَاۤءُونَ ۝  وَیَمۡنَعُونَ ٱلۡمَاعُونَ)                                

[Surah Al-Ma’un 4 – 7]

Maksudnya : maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang – (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya; (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya), Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).

      Didalam ayat ini menyatakan celaka bagi mereka yang lalai daripada mengerjakan solat, bukanlah lalai didalam solat. Untuk lebih jelas lagi, kita perlu memahami apakah maksud lalai dalam solat dan lalai daripada mengerjakan solat. Lalai dalam solat bermaksud tidak khusyuk ketika solat iaitu hatinya dan fikirannya masih memikirkan perkara-perkara lain. Adapun maksud lalai daripada mengerjakan solat adalah tidak mengerjakan solat atau solat diluar daripada waktunya dengan sengaja. Inilah yang dijelaskan oleh para ulama ketika mentafsirkan makna ayat diatas.

Hadis Nabi saw

( أول ما يحاسب به يوم القيامة الصلاة فإن صلحت صلح سائرعمله وإن فسدت سائر عمله )                    

Maksudnya : Perkara pertama dihisab pada harin kiamat adalah solat, maka jika baik solatnya maka baiklah seluruh amalannya.

3) Menunaikan Zakat

      Zakat adalah rukun islam yang ketiga yang wajib dilaksanakan oleh umat islam yang berkemampuan. Zakat adalah ibadat harta yang diwajibkan oleh Allah kepada orang islam yang kurang berkemampuan. Terdapat banyak jenis zakat tetapi yang wajib keatas semua umat islam adalah zakat fitrah. Tujuan zakat adalah untuk menyucikan harta.

Hadis Nabi saw :

( حصنوا أموالكم بالزكاة وداووا مرضاتكم بالصداقة )

Maksudnya : Lindungilah harta kamu dengan menunaikan zakat dan tuntutlah keredaan tuhanmu dengan sedekah.

      Diantara hikmah pensyariatan zakat adalah supaya untuk membantu umat islam yang miskin dan tidak berkemampuan selain untuk mewujudkan suasana yang harmoni dalam masyarakat. Ini apabila orang yang kaya membantu orang yang miskin akan lahir perasaan kasih sayang dan mahabbah sesama mereka sekaligus dapat mengelakkan sifat-sifat yang buruk. Ia juga akan menjadikan orang yang memberi zakat jauh daripada sifat bakhil dan menjadikan dia bersyukur diatas apa yang dikurniakan kepadanya.

Diantara jenis-jenis zakat yang terdapat didalam islam

1) zakat tanaman/pertanian

2) zakat ternakan

3) zakat pendapatan

4) zakat perniagaan

5) zakat simpanan

6) zakat pelaburan

7) zakat emas dan perak

      Kesemua zakat-zakat diatas tidak wajib kecuali bila sampai tempoh masa dan kadar wajib bagi zakat. Zakat ini mestilah ditunaikan kepada umat islam yang kurang berkemampuan yang dikenali sebagai asnaf zakat seperti yang dinyatakan didalam al-quran. Memberikan zakat kepada selain 8 golongan ini tidak menggugurkan kewajipan zakat dan dikira masih tidak menunaikannya. 8 asnaf zakat tersebut adalah :

1) fakir
2) miskin
3) amil (pengutip zakat)
4) muallaf
5) hamba
6) orang yang dibelanggu hutang
7) orang yang berjuan fisabilillah
8) ibnu sabil (orang yang dalam musafir)

Firman Allah saw :

(۞ إِنَّمَا ٱلصَّدَقَـٰتُ لِلۡفُقَرَاۤءِ وَٱلۡمَسَـٰكِینِ وَٱلۡعَـٰمِلِینَ عَلَیۡهَا وَٱلۡمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمۡ وَفِی ٱلرِّقَابِ وَٱلۡغَـٰرِمِینَ وَفِی سَبِیلِ ٱللَّهِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِیلِۖ فَرِیضَةࣰ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ عَلِیمٌ حَكِیمࣱ)

[Surah At-Tawbah 60]

Maksudnya : Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana

     Jika melihat sejarah islam, khalifah pertama iaitu Saidina Abu Bakar assiddiq mengisytiharkan perang keatas mereka yang enggan membayarkan zakat. Berlaku perselisihan pendapat pada ketiku itu diantara Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar tentang ini, tetapi Abu Bakar dengan tegas mengatakan aku tidak nampak perbezaan diantara orang yang enggan membayar zakat dan orang yang mengingkari solat. Ini jelas menunjukkan bahawa zakat adalah satu kewajipan didalam islam.

     Jika diperhatikan didalam al quran, banyak ayat yang menyebut perintah mendirikan solat dan menunaikan zakat.

Firman Allah swt :

(وَأَقِیمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَۚ وَمَا تُقَدِّمُوا۟ لِأَنفُسِكُم مِّنۡ خَیۡرࣲ تَجِدُوهُ عِندَ ٱللَّهِۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِیرࣱ)          

[Surah Al-Baqarah 110]

Maksudnya : Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.

      Ada ulama mengatakan hikmahnya adalah supaya umat islam bukan sahaja perlu menjaga hubungan dengan Allah tetapi perlu juga menjaga hubungan sesama manusia. Ini kerana solat adalah hak diantara kita dengan Allah, manakala zakat pula adalah hak kita kepada umat Islam yang lain.

4) Menunaikan Haji

      Rukun Islam yang keempat adalah menunaikan Haji di Mekah. Ibadat ini merupakan ibadat yang turut dilaksanakan oleh Nabi-nabi terdahulu bermula nabi ibrahim mengikut syariat yang diturunkan kepada mereka. Kerana itulah sebelum Nabi Muhammad saw diutuskan orang arab daripada sekitar tanah arab akan ke Mekah untuk menunaikan Haji. Akan tetapi mereka tidak lagi melaksanakan ibadat Haji mengikut syariat nabi Ibrahim kerana telah diseleweng oleh ahli-ahli kitab.

Firman Allah saw

(وَأَذِّن فِی ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَجِّ یَأۡتُوكَ رِجَالࣰا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرࣲ یَأۡتِینَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِیقࣲ)                                     

[Surah Al-Hajj 27]

Maksudnya : “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

        Kewajipan ini hanya sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan dan tidak wajib bagi mereka yang tidak ada kemampuan untuk melaksanakannya. Hikmah daripada ibadat haji adalah penyerahan diri kepada Allah dan tanda pengabdian diri kepadaNya. Mereka yang menunaikan haji sanggup meninggalkan segala kesenangan dan sanggup berpisah dengan yang tersayang semata-mata untuk mentaati perintah Allah.

Hadis Nabi saw :

قال رسول الله : العمرة إلى العمرة كفارة لما بينهما، و الحج المبرور ليس له جزاء إلا الجنة                                                                                                                                               

Maksudnya : Umrah kepada satu umrah yang lain adalah kafarah diantara keduanya, dan Haji yang mabrur(diterima oleh Allah) tiada balasan baginya melainkan syurga.

5) Berpuasa di Bulan Ramadan

       Berpuasa adalah  menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa. Ibadat puasa difardhukan pada tahun ke 2 hijrah iaitu ketika nabi dan umat islam berada di Madinah. Ibadat ini dilakukan selama sebulan pada bulan ramadan.

Firman Allah

(یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَیۡكُمُ ٱلصِّیَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ)                             

[Surah Al-Baqarah 183]

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

      Berpuasa bukanlah semata-mata menahan diri daripada makan dan minum sahaja tetapi yang lebih besar daripada itu adalah untuk mendidik diri manusia supaya tidak mengikut hawa nafsu dan kemahuan diri sahaja. Inilah hikmah daripada pensyariatan ibadah puasa kerana didalam agama Islam ada perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Jadi dengan berpuasa ia dapat mendidik manusia meninggalkan perkara yang haram.

Benarkah puasa menjadikan umat islam lemah?

Ini adalah satu fitnah dan tuduhan yang dilontarkan oleh golongan yang memusuhi Islam. Sejarah membuktikan bahawa puasa tidaklah melemahkan umat Islam bahkan sebenarnya menjadi pendorong dan kekuatan kepada umat islam untuk terus maju. Diantara perkara penting yang berlaku dalam bulan ramadan adalah peperangan badar, pembukaan kota mekah, peperangan tabuk, pembukaan kota palestin dan lain-lain lagi. Semua peristiwa ini terjadi pada bulan ramadan.

Pengajaran Hadis

1) Islam adalah agama yang syumul merangkumi semua aspek kehidupan iaitu akidah dan amalan.

2) Solat adalah tiang agama yang wajib dilaksana oleh setiap muslim

3) Agama islam terdiri daripada rukun-rukun yang kukuh iaitu iktikad, ibadat anggota badan dan kata-kata dan ibadat harta

4) Wajib mengucap dua kalimah syahadah bagi mereka yang ingin memeluk agama islam.

Rujukan

  1. Kitab al Jami’ fi Syarhi al Arbain an Nawawiah
  2. Kitab al Jawahir al Luluiah fi Syarhil Arbain an Nawawiah
  3. Kitab al Wafi fi Syarhi al Arbain an Nawawiah
  4. Kitab Al-Anwarul Muhammadiah Syarhil al Arbain an Nawawiah
  5. Mabadiul Islam Syed Hawwa

Like this article?

Share on facebook
Share on Facebook
Share on twitter
Share on Twitter
Share on linkedin
Share on Linkdin
Share on pinterest
Share on Pinterest

Leave a comment