HADIS 40 : PENCIPTAAN MANUSIA DAN TAKDIR

3 Peringkat Penciptaan Manusia dan Takdir Ilahi

عَنْ أَبي عَبْدِ الرحمنِ عَبْدِ االلهِ بْنِ مَسْعُودٍ رضى االله عنه قَالَ: حَدَّثَنَا رَسُولُ االله صلَّى االله عليهِ وسَلَّمَ وهو الصَّادِقُ الْمَصْدُوْقُ: (( إِنَّ أَحَدَآُمْ یُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ یَوْمًا نُطْفَةً، ثُمَّ یَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ یَكُوْنُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ یُرْسَلُ إِلَيْهِ المَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيْهِ الرُّوْحَ وَیُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ آَلِمَاتٍ؛ بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيْدٌ. فَوَااللهِ الَّذِي لا إلهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَآُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ اْلجَنَّةِ حَتَّى مَا یَكُوْنَ بَيْنـَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكتِاَبُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا. وَإِنَّ أَحَدَآُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا یَكُوْنَ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ اْلجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا )).
رواه البخاري ومسلم .

Maksudnya : Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas’uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai): Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.

Makna kalimah

 نطفة : air mani

 علقة : segumpal darah

 مضغة : seketul daging

 الأجل : umur manusia

 الشقي : mati dalam kufur

 السعيد : mati dalam iman

Biodata Perawi

         Perawi adalah Abdulllah bin Ghafil bin mas’ud. Beliau dilahirkan di Mekah dan beliau termasuk di antara orang yang awal memeluk agama Islam iaitu orang yang keenam. Diceritakan sebab beliau memeluk agama Islam adalah kerana berlaku satu mukjizat Nabi Muhammad saw dihadapannya. Mukjizat tersebut adalah keluar susu daripada perut kambing apabila disapu oleh Baginda Nabi Muhammad saw sedangkan kambing tersebut belum pernah mengeluarkan susu. Dan susu berhenti keluar apabila Nabi saw mengarahkannya berhenti. Beliau adalah di antara sahabat yang agung. Semasa Saidina Umar Al-Khattab menjadi khalifah, beliau di lantik menjadi gabenor di Iraq bersama Ammar bin Yasir. Beliau meriwayatkan sebanyak 840 hadis daripada Nabi Saw. Beliau meninggal dunia pada tahun 30 hijrah ketika berumur 60 tahun di Madinah.

Keterangan Hadis

      Hadis ini menerangkan tentang keadaan manusia bermula daripada awal penciptaan hingga ke penghujungnya. Hadis ini juga menceritakan proses penciptaan manusia yang berasal daripada air mani yang hina sehinggalah menjadi bayi. Selain itu, hadis ini menjelaskan berkenaan takdir yang telah ditetapkan oleh Allah kepada manusia.

3 Peringkat Penciptaan Manusia

      Allah menciptakan manusia secara berperingkat-peringakat. Didalam hadis ini menyebut 3 peringkat proses penciptaan manusia selama 120 hari iaitu 4 bulan iaitu sebelum ditiupkan roh keadalam jasad manusia. Peringkat penciptaan manusia adalah seperti mana berikut :

1) Air mani

    Ini adalah asal bagi manusia iaitu daripada air mani yang hina. Inilah asal bagi semua manusia tidak kira bangsa, negara atau warna kulit. Manusia berada dalam keadaan ini selama 40 hari.

2) Segumpal darah

    Selepasa 40 hari air mani tadi akan bertukar menjadi segumpal darah.

3) Seketul daging

    Selepas 40 hari dalam keadaan darah, ia akan bertukar menjadi seketul daging.

     Didalam ayat quran pula menjelaskan proses penciptaan manusia berlaku dalam 7 peringkat. 3 peringkat seperti yang dinyatakan didalam hadis dan 4 peringkat lagi tambahan daripada hadis. Ini dinyatakan didalam surah al-mukmin ayat 12 – 14.

Firman Allah swt :

(وَلَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ مِن سُلَـٰلَةࣲ مِّن طِینࣲ ۝  ثُمَّ جَعَلۡنَـٰهُ نُطۡفَةࣰ فِی قَرَارࣲ مَّكِینࣲ ۝  ثُمَّ خَلَقۡنَا ٱلنُّطۡفَةَ عَلَقَةࣰ فَخَلَقۡنَا ٱلۡعَلَقَةَ مُضۡغَةࣰ فَخَلَقۡنَا ٱلۡمُضۡغَةَ عِظَـٰمࣰا فَكَسَوۡنَا ٱلۡعِظَـٰمَ لَحۡمࣰا ثُمَّ أَنشَأۡنَـٰهُ خَلۡقًا ءَاخَرَۚ فَتَبَارَكَ ٱللَّهُ أَحۡسَنُ ٱلۡخَـٰلِقِینَ)

[Surah Al-Mu’minun 12 – 14]

Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.

Adakah berlaku pertembungan Al-Quran dan Hadis?

    Sebenarnya tidak berlaku pertembungan apa yang dinyatakan didalam Al-Quran dan apa yang disebut didalam hadis Nabi saw. Ini kerana apa yang diceritakan didalam hadis adalah peringkat sebelum ditiupkan roh. Adapun yang dinyatakan didalam al-quran pula adalah bermula daripada awal penciptaan sehingga menjadi bayi didalam perut.

Kenapa diciptakan manusia berperingkat-peringkat?

    Inilah persoalan yang sering ditimbulkan oleh orang ramai termasuk umat islam sendiri. Adakah Allah tidak mampu menciptakan manusia sekaligus tanpa melalui peringkat-peringkat ini.  Jawapannya adalah Allah berkuasa untuk menciptakan manusia sekaligus dalam bentuk manusia yang sudah cukup anggota badan. Akan tetapi terdapat satu hikmah besar daripada proses penciptaan manusia ini iaitu mendidik manusia supaya tidak tergopoh gapah dan mengajar manusia bahawa ini adalah sunnah Allah dalam kehidupan ini. Sunnatullah berlakunya sesuatu didunia ini dengan sebab musabab. Contohnya kita merasa kenyang dengan sebab makan dan minum. Tetapi ia tidaklah menafikan qudrah Allah yang maha berkuasa menciptakan segala yang mumkin.

Hadis Nabi Muhammad saw

قال النبي صلى الله عليه وسلم «التأني من الله والعجلة من الشيطان»

Maksudnya : Tertib dan tidak tergesa-gesa daripada Allah dan gopoh gapah daripada syaitan.

Peringatan

Saidina Allah pernah mengungkapkan :

ما لابن آدم  و الفخر. أوله نطفة مذرة اي خبيثة  و آخره جيفة وما بينهما يحمل العذرة أي النجاسة

Maksudnya : Apakah yang dibanggakan oleh anak adam. Awal penciptaannya daripada air mani yang hina, akhirnya pula menjadi bangkai yang kotor dan diantara membawa benda yang kotor iaitu najis.

Hakikat Roh

Berkenaan dengan roh ia adalah rahsia Allah yang tidak diketahui oleh sesiapa tetapi dengannya manusia dapat hidup.

Firman Allah :

(وَیَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلرُّوحِۖ قُلِ ٱلرُّوحُ مِنۡ أَمۡرِ رَبِّی وَمَاۤ أُوتِیتُم مِّنَ ٱلۡعِلۡمِ إِلَّا قَلِیلࣰا)

[Surah Al-Isra’ 85]

Maksudnya : Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”.

Takdir dan persoalan sekitarnya

Setelah ditiupkan roh, Allah memerintahkan malaikat untuk mencatat tentang 4 perkara iaitu :

1) Rezeki

     Maksudnya adalah dicatatkan kadar rezekinya samaada sedikit atau banyak. Ada ulama yang membahagikan rezeki kepada dua iaitu ilmu jasad seperti makan, minum, pakaian dan lain-lain. Manakala rezeki yang kedua pula adalah rezeki rohani atau rezeki agama seperti rezeki iman dan ilmu.


2)  Ajal 

    Maksudnya adalah dicatatkan berapakah kadar umurnya, bilakah dia akan meninggal dan dimanakah tempat meninggal. Ajal adalah setu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Ia tidak dapat dilewatkan atau diawalkan.   Firman Allah :

(وَلَن یُؤَخِّرَ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِذَا جَاۤءَ أَجَلُهَاۚ وَٱللَّهُ خَبِیرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ)

[Surah Al-Munafiqun 11]

Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan

Hadis Nabi saw

إنه لن تموت نفس حتى تستكمل رزقها

Maksudnya : Sesungguhnya tidak akan mati seorang nyawa sehinggalah sempurna rezekinya(didunia)

3) Amalan

    Maksudnya adalah dicatatkan bagaimana amalannya semasa hidup didunia samaada soleh atau tidak soleh.

4) Pengakhirannya

    Maksudnya dicatatkan bagi setiap manusia adakah dia orang yang bahagia iaitu mati dalam iman atau celaka iaitu mati dalam kufur.

(فَأَمَّا ٱلَّذِینَ شَقُوا۟ فَفِی ٱلنَّارِ لَهُمۡ فِیهَا زَفِیرࣱ وَشَهِیقٌ ۝  خَـٰلِدِینَ فِیهَا مَا دَامَتِ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تُ وَٱلۡأَرۡضُ إِلَّا مَا شَاۤءَ رَبُّكَۚ إِنَّ رَبَّكَ فَعَّالࣱ لِّمَا یُرِیدُ ۝  ۞ وَأَمَّا ٱلَّذِینَ سُعِدُوا۟ فَفِی ٱلۡجَنَّةِ خَـٰلِدِینَ فِیهَا مَا دَامَتِ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تُ وَٱلۡأَرۡضُ إِلَّا مَا شَاۤءَ رَبُّكَۖ عَطَاۤءً غَیۡرَ مَجۡذُوذࣲ)

[Surah Hud 106 – 108]

Maksudnya : (Pada) masa datangnya (hari kiamat itu), tiadalah seorangpun dapat berkata-kata (untuk membela dirinya atau memohon pertolongan) melainkan dengan izin Allah. Maka di antara mereka ada yang celaka, dan ada pula yang berbahagia.  Adapun orang-orang yang celaka (disebabkan keingkaran dan maksiatnya), maka di dalam nerakalah tempatnya. Bagi mereka di situ, hanyalah suara memekik-mekik dan mendayu-dayu (seperti suara keldai). Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu. Sesungguhnya Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya. Adapun orang-orang yang berbahagia (disebabkan imannya dan taatnya), maka di dalam Syurgalah tempatnya. Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu sebagai pemberian nikmat yang tidak putus-putus.

Pembahagian Takdir

   Ulama membahagikan takdir terbahagi kepada dua. Yang pertama adalah takdir mu’allaq iaitu takdir yang digantung. Manakala yang kedua takdir mubram. Takdir mu’allaq adalah takdir yang boleh berubah pada Lauh Mahfuz iaitu apa yang dicatatkan oleh malaikat. Ia dapat berubah oleh amal-amal soleh yang dilakukan oleh seseorang seperti sedekah dan menghubungkan silaturahim

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”

Adapun takdir mubram pula adalah takdir yang tidak boleh diubah lagi.

Firman Allah swt :

(یَمۡحُوا۟ ٱللَّهُ مَا یَشَاۤءُ وَیُثۡبِتُۖ وَعِندَهُۥۤ أُمُّ ٱلۡكِتَـٰبِ)

[Surah Ar-Ra’d 39]

Maksudnya : Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Ia juga menetapkan apa jua yang dikehendakinya. Dan (ingatlah) pada sisiNya ada “Ibu segala suratan” iaitu Lauh m

Mahfuz

Diantara Ikhtiar, Usaha dan Takdir

Adakah takdir menafikan usaha dan ikhtiar manusia?

Adakah salah menyandarkan terjadinya sesuatu perkara kepada manusia?

Kenapakah perlu ikhtiar dan usaha sedangkan semuanya sudah ditakdirkan oleh Allah?

Kenapakah manusia diazab dan diseksa diatas perbuatannya sedangkan perkara tersebut terjadi dengan takdir dan izin Allah??

      Persoalan berkenaan takdir diatas menjadi perbahasan hebat dalam kalangan ulama dan menyebabkan lahirnya pelbagai mazhab akidah seperti qodariah, jabariah dan lain-lain.  Pada mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah takdir tidak menafikan ikhtiar dan usaha. Walaupun Allah telah menetapkan semuanya tetapi ia tidaklah menafikan ikhtiar dan usaha manusia. Allah memberikan kita ikhtiar iaitu pilihan dan usaha untuk melakukan sesuatu perkara dan kita akan di azab dan diseksa diatas ikhtiar yang kita pillih dan usaha yang kita lakukan. Walapun begitu pada  iktikad orang islam, ikhtiar dan usaha kita tidak dapat memberikan apa-apa kesan terhadap sesuatu. Selain itu, kita juga diberi pahala dan ganjaran atas ikhtiar dan usaha baik yang kita lakukan dan dosa yang dilakukan .

      Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah mengatakan semua yang berlaku adalah dengan kehendak dan Qudrat Allah. Tiada satu pun yang berlaku kecuali dengan izin dan kehendak Allah. Ini berbeza dengan mazhab akidah yang menyeleweng. Diantara pendapat yang tidak betul adalah mengatakan perkara buruk yang berlaku adalah bukan dengan kehendak Allah. Antara lain lagi, mengatakan kita tidak perlu berusaha dan berikhtiar kerana semuanya sudah ditakdirkan. Ini adalah diantara dua pendapat yang jelas bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

     Pendapat ini ditolak kerana jika ada perkara yang berlaku bukan dengan kehendak Allah nescaya Allah itu lemah kerana ada perkara yang terjadi di luar kemahuanNya. Maka ianya tidak betul kerana Allah itu maha berkuasa dan tiada yang dapat menandingi kuasa Allah. Bukan itu sahaja ia juga menafikan sifat ketuhanan yang layak bagi Allah. Manakala pendapat yang mengatakan tidak perlu berusaha pula ditolak kerana terdapat banyak ayat-ayat Al-Quran yang memerintahkan kita supaya berusaha dan beramal.

Firman Allah swt

(وَقُلِ ٱعۡمَلُوا۟ فَسَیَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمۡ وَرَسُولُهُۥ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَـٰلِمِ ٱلۡغَیۡبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ فَیُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ)

[Surah At-Tawbah 105]

Maksudnya : Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramal lah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.

    Terdapat satu lagi pendapat yang tidak betul iaitu tidak boleh menyandarkan kepada usaha dan ikhtiar manusia diatas apa yang berlaku. Ini juga bertentangan dengan Ahli Sunnah wal Jamaah. Pada mazhab ]Ahli Sunnah wal Jamaah, boleh disandarkan sesuatu perkara pada manusia iaitu terjadinya sesuatu perkara dengan sebab, ikhtiar dan usaha manusia pada percakapan iaitu disebut sebagai isnad sabab atau majaz pada ilmu bahasa arab. Adapun pada iktikad setiap orang Islam wajib beriktikad bahawa berlakunya sesuatu adalah dengan kehendak dan kuasa Allah semata-mata, tanpa ada campur tangan yang lain.

Ini seperti mana yang dinyatakan didalam al-quran. Firman Allah swt :

(أَیۡنَمَا تَكُونُوا۟ یُدۡرِككُّمُ ٱلۡمَوۡتُ وَلَوۡ كُنتُمۡ فِی بُرُوجࣲ مُّشَیَّدَةࣲۗ وَإِن تُصِبۡهُمۡ حَسَنَةࣱ یَقُولُوا۟ هَـٰذِهِۦ مِنۡ عِندِ ٱللَّهِۖ وَإِن تُصِبۡهُمۡ سَیِّئَةࣱ یَقُولُوا۟ هَـٰذِهِۦ مِنۡ عِندِكَۚ قُلۡ كُلࣱّ مِّنۡ عِندِ ٱللَّهِۖ فَمَالِ هَـٰۤؤُلَاۤءِ ٱلۡقَوۡمِ لَا یَكَادُونَ یَفۡقَهُونَ حَدِیثࣰا ۝  مَّاۤ أَصَابَكَ مِنۡ حَسَنَةࣲ فَمِنَ ٱللَّهِۖ وَمَاۤ أَصَابَكَ مِن سَیِّئَةࣲ فَمِن نَّفۡسِكَۚ وَأَرۡسَلۡنَـٰكَ لِلنَّاسِ رَسُولࣰاۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ شَهِیدࣰا)

[Surah An-Nisa’ 78 – 79]

Maksudnya : Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: “Ini adalah dari sisi Allah”, dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata:” Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah”. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)? Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini).

     Sebagai seorang islam wajib untuk kita sentiasa bersangka baik kepada Allah diatas apa yang berlaku kepada diri kita atau orang lain samaada baik atau buruk. Kesimpulan daripada ini adalah kita diberikan ikhtiar dan usaha oleh Allah swt untuk melakukan sesuatu atau meninggalkannya. Maka segala apa yang kita lakukan adalah sebagai ikhtiar dan usaha yang tidak mampu memberikan apa-apa kesan terhadap apa yang Allah takdirkan.

Penentu amalan pada hujungnya

     Pada penghujung hadis ini Nabi Muhammad saw menyebut bahawa orang yang telah beramal soleh akan masuk neraka walaupun semasa hidupnya dia melakukan amal soleh. Manakala orang yang melakukan amalan jahat akan masuk syurga walaupun telah melakukan amal jahat semasa hidupnya. Ini menunjukkan apa yang telah ditakdirkan oleh Allah akan tetap berlaku. Inilah dinyatakan juga oleh Nabi saw didalam hadis yang lain.

إنما الأعمال بالخواتي

                      Maksudnya : Sesungguhnya semua amalan itu pada pengakhirannya.

      Terdapat satu persoalan yang sering dipersoalkan iaitu kita tidak perlu melakukan amal soleh kerana jika kita telah ditakdirkan masuk syurga nescaya kita akan masuk syurga  dan begitulah sebaliknya. Didalam memahami perkara ini perlulah kita melihat hadis-hadis lain yang menjelaskan maksud hadis ini.

     Yang dimaksudnya dalam hadis ini adalah sesiapa yang ditentukan baginya iman dan taat pada akhirnya umurnya, kemungkinan dia kufur dan ingkar kepada Allah swt dalam tempoh masa tertentu. Kemudian Allah swt memberikan taufiq dan hidayah kepadanya untuk beriman dan kembali kepada Islam sebelum habis ajalnya dan dia mati dalam keadaan beriman.

     Manakala sesiapa yang ditakdirkan keatasnya kufur dan fasiq pada hujung hayatnya, kemungkinan dia beriman dan melakukan amal soleh pada satu tempoh masa. Kemudian kerana keinginannya sendiri yang ingin berpaling atau ingkar kepada perintah Allah, lalu Allah membiarkan dia dengan pilihannya sendiri lalu dia menjadi kufur dan mati dalam keadaan tersebut.

      Ada juga ulama mengatakan yang dimaksudkan seseorang beramal dengan amalan yang soleh sehingga sehasta daripada syurga adalah pada pandangan manusia iaitu manusia melihatnya seolah-olah ahli syurga kerana amal soleh yang dilakukan. Akan tetapi pada hakikatnya, amalan yang dilakukan adalah tidak ikhlas dan untuk menunjuk semata-mata atau ada niat lain yang tidak diketahui manusia. Oleh kerana itu, Allah membiarkan dia menjadi kufur pada penghujung hayatnya disebabkan niat dan keinginannya sendiri. Inilah dijelaskan didalam hadis yang lain

قال رسول الله :   إن الرجل ليعمل عمل اهل الجنة فيما يبدو للناس و هو من اهل النار و إن الرجل ليعمل عمل اهل النار فيما يبدو للناس وهو من اهل الجنة.

Maksudnya : Sesungguhnya seorang lelaki beramal dengan amalan ahli syurga iaitu pada pandangan manusia sedangkan di adalah ahli neraka. Dan Sesungguhnya seorang lelaki beramal dengan amalan ahli neraka iaitu pada pandangan manusia sedangkan dia adalah ahli syurga.

     Kerana ini lah, apabila membaca ayat-ayat suci Al-Quran atau Hadis Nabi saw perlulah merujuk tafsiran dan keterangan hadis yang dihuraikan oleh para ulama. Perlu juga kita ketahui bahawasanya apa yang Allah takdirkan adalah berdasarkan ilmuNya yang maha mengetahui dan meliputi semua perkara.

Pengajaran Hadis

1) Manusia berasal daripada air mani yang hina

2) Sesungguhnya ajal, rezeki, umur dan penghujung hidup manusia sudah ditetapkan Allah

3) Wajib beriman dengan qada’ dan qadar Allah

4) Peringatan tentang kematian yang tidak baik

5) Sentiasa berdoa supaya ditetapkan hati diatas agama Islam dan Iman

Rujukan

  1. Kitab al Jami’ fi Syarhi al Arbain an Nawawiah
  2. Kitab al Jawahir al Luluiah fi Syarhil Arbain an Nawawiah
  3. Kitab al Wafi fi Syarhi al Arbain an Nawawiah
  4. Kitab Al-Anwarul Muhammadiah Syarhil al Arbain an Nawawiah
  5. Kitab Hasyiah Syarqowi ala Had Hadi

Like this article?

Share on facebook
Share on Facebook
Share on twitter
Share on Twitter
Share on linkedin
Share on Linkdin
Share on pinterest
Share on Pinterest

Leave a comment