HADIS 40 : SETIAP AMALAN BERGANTUNG PADA NIAT

7 PERKARA BERKAITAN NIAT DAN HURAIAN RINGKAS

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, ‘Umar bin al-Khattab R.A katanya: Aku mendengar Rasulullah
S.A.W bersabda: Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan setiap
seseorang itu mendapat ( pahala ) berdasarkan apa yang diniatkan. Barangsiapa yang hijrahnya
menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang
berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu bagi Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang
berhijrah kerana duniayang akan diperolehinya atau kerana perempuan yang akan dikahwininya,
maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan.

Hadis Riwayat Imam Bukhari

SEBAB WURUD HADIS

Daripada Ibnu Mas’ud ra beliau berkata : Ada dalam kalangan kami seorang lelaki meminang
seorang perempuan yang digelar sebagai ummu qois, dia enggan berkahwin dengan lelaki tersebut
kecuali lelaki itu berhijrah ke Madinah. Maka lelaki itu berhijrah ke Madinah (dengan niat untuk
berkahwin) dan dia dapat mengahwini perempuan berkenaan. Lalu digelarkan lelaki tersebut dengan
gelaran muhajir ummu qois.

BIODATA PERAWI

Perawi adalah Sayyidina Umar Bin Khattab Bin Nufail Bin Abdul Uzza Bin Rabah. Dia dilahirkan di
Mekah, 3 tahun selepas peristiwa tentera bergajah. Beliau memeluk agama islam pada tahun ke 6
selepas kebangkitan nabi iaitu ketika berumur 26 tahun. Keislaman Umar Al Khattab merupakan satu
kekuatan dan kemulian kepada agama islam dan ini adalah jawapan kepada doa Nabi Muhammad
saw kerana nabi pernah berdoa “Ya Allah engkau muliakanlah Islam dengan salah satu daripada dua
umar”. Dia lah orang yang pertama mengisytiharkan keislamannya secara terang-terangan.
Diceritakan Sayyidina Umar Al Khattab mengetuk pintu rumah pembesar-pembesar Quraisy pada
ketika itu dan memberitahu mereka bahawa dia telah memeluk agama Islam. Saidina umar digelar
sebagai al Faruq iaitu pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Beliau wafat ketika umur 63 tahun
pada tahun 23 hijrah kerana ditikam oleh munafiq Abu Luluah Al Majusi ketika sedang solat subuh di
Madinah.

MAKNA KALIMAH

الحفص : Singa iaitu gelaran kepada Sayyidina Umar Al Khattab

النيات : Jamak kepada niat. Maknanya pada bahasa adalah tujuan manakala pada syarak adalah tujuan
yang disertai dengan perbuatan

الهجرة : Pada bahasa ia bermaksud meninggalkan. Pada istilah pula ia bermaksud berpindah daripada
negeri kafir ke negeri islam kerana takut akan fitnah. Adapun yang dimaksudkan dalam hadis ini
adalah berpindah daripada Mekah ke Madinah sebelum pembukaan Kota Mekah.

هللاا الى : Menuju ke tempat yang diredai Allah

يصيبها لدنيا : Tujuan untuk mendapatkan benda keduniaan

KETERANGAN HADIS

Hadis ini adalah hadis yang cukup penting kerana terdapat padanya banyak hukum. Ini seperti mana
dikatakan oleh Abu Daud bahawa hadis ini adalah separuh daripada Islam kerana agama islam
terdiri daripada dua aspek. Yang pertama adalah aspek zahir iaitu amalan zahir dan yang kedua
adalah aspek batin iaitu niat. Imam Syafie pula mengatakan bahawa hadis ini merangkumi 1/3 ilmu.
Demikian kerana amalan manusia itu merangkumi 3 perkara iaitu hati, lisan dan anggota badan.
Maka niat dengan hati adalah salah satu daripada 3 bahagian tersebut.

7 Perkara Berkaitan Dengan Niat

1) Makna niat : Niat pada bahasa adalah tujuan. Manakala pada istilah pula bermaksud tujuan yang
disertai dengan perbuatan.

2) Hukum : Hukum niat adalah wajib pada ibadat seperti sembahyang,puasa dan seumpamanya.
Tetapi berlaku perselisihan pendapat diantara mazhab tentang kewajipan niat pada amalan yang
tidak disepakati sebagai ibadat seperti berwudhu dan mandi. Imam Abu Hanifah tidak mewajibkan
niat tetapi sunat padanya dan beliau berpendapat ia adalah wasilah kepada ibadat. Adapun pada
mazhab Syafie niat adalah wajib.

3) Tempat niat : Tempat niat adalah di dalam hati bukan di mulut. Akan tetapi sunat melafazkan niat
dengan lisan untuk membantu hati menghadirkan niat

4) Masa : Masa niat adalah pada permulaan ibadat kecuali pada puasa dan zakat. Niat bagi solat
adalah ketika Takbiratul Ihram dan niat bagi wuduk adalah Ketika membasuh muka. Namun ada
juga ibadat yang sah niatnya sebelum melaksanakan ibadat seperti puasa dan zakat. Bagi ibadat
puasa memadai niat sebelum masuk waktu subuh dan bagi zakat pula memadai niat membayar
zakat ketika mengasingkan duit untuk membayar zakat.

5) Kaifiat niat : kaifiat niat berbeza mengikut jenis ibadat atau amalan. Sudah semestinya niat solat
berbeza daripada niat puasa dan demikianlah niat-niat ibadat yang lain.

6) Syarat sah niat : Terdapat 3 syarat sah niat yang disebut oleh ulama iaitu

  • Islam : maka tidak sah niat orang kafir
  • Mumayyiz atau tamyiz : maka tidak sah niat kanak-kanak yang belum mumayyiz. Mumayyiz
    ertinya boleh membezakan baik dan buruk
  • Tahu ibadat yang diniatkan : maka tidak sah niat orang yang tidak tahu apakah ibadat yang ingin
    dia laksanakan.
  • Jazam : maka tidak sah niat orang ta’lik(gantung) niatnya contohnya dia berniat sahaja aku
    berwuduk insyaAllah.

7) Tujuan niat : Tujuan niat ada dua iaitu

  • untuk membezakan diantara ibadat dan adat
  • untuk membezakan martabat ibadat seperti mandi wajib dan mandi sunat.

APAKAH MAKNA IKHLAS?

Imam Abu Qasimal-Qusyairi : “Ikhlas ialah menjadikan niat hanya untuk Allah dalam amalan
ketaatan. Amalan tersebut dilakukakn untuk mendekatkan diri kepada Allah dan bukanlah ingin
mendapatkan pujian daripada makhluk dan niatnya tidaklah lain kecuali mendekatkan diri kepada
Allah.”
Imam Al-Haddad : “Erti ikhlas ialah mengqasadkan segala amal ibadah dan ketaatan serta semua
perbuatan semata-semata kerana Allah, ditujukan kepadaNya untuk mendekatkan diri dan
mendapat keredaan. Bukan untuk tujuan-tujuan yang lain.”

IKHLAS SYARAT AMALAN DITERIMA

Ikhlas merupakan syarat untuk diterima sesuatu amalan, tanpa niat yang ikhlas maka amalan yang
dilakukan tidak akan diterima oleh Allah. Ini seperti mana firman Allah yang bermaksud
“ Sesiapa yang menghendaki dengan aamal usahanya ganjaran di akhirat, nescaya kami akan
memberi tambahan kepadanya, dan sesiapa yang menghendaki dengan amal usahanya ganjaran
dunia semata-mata kami akan berikan kepadanya dan di hari akhirat kelak dia tidak mendapat
apa-apa ganjaran” – ayat 60 Surah Ash-Shura

Hadis juga menyatakan perkara yang sama :

“Aku tidak memerlukan kongsi, sesiapa yang melakukan amalan yang ada pada niatnya selain aku
maka aku berlepas diri daripada nya”.

“ Sesungguhnya Allah tidak menerima amal perbuatan kecuali yang ikhlas dan untuk mendapat
keredaan Allah”

Imam Nawawi membahagikan ikhlas kepada 3 keadaan seperti berikut :

1) Beramal kerana takut kepada Allah. Ia disebut sebagai ibadat hamba

2) Beramal kerana menuntut syurga dan ganjaran daripada Allah. Ia disebut ibadat saudagar

3) Beramal kerana malu kepada Allah, juga sebagai menunaikan hak kehambaan dan menyatakan
kesyukuran kepada Allah. Dia merasakan dirinya cuai menunaikan hak Allah dan dia beramal dalam
keadaan hatinya rasa takut dan bimbang adakah amalannya diterima atau tidak. Ini disebut sebagai
ibadat orang yang merdeka. Inilah yang ditunjukkan Nabi Muhammad saw ketika sayyidatina ‘aisyah
bertanya kepadanya apabila dia melaksanakan solat malam sehingga bengkak kedua kakinya.
“Wahai rasulullah ! kenapakah kamu bersusah payah melakukan hal ini sedangkan kamu
diampunkan dosa yang lalu dan yang akan datang?” Lalu jawab rasulullah “Tidakkah seharusnya aku
menjadi hambaNya yang bersyukur?”

Peringkat-peringkat Ikhlas

Syeikhul Islam Abu Yahya Zakari al-Ansari menyatakan peringkat ikhlas terbahagi kepada 3 iaitu

1- seseorang mengerjakan ibadat kerana semata-mata menjunjung perintah Allah

2- seseorang mengerjakan amal ibadat kerana menginginkan pahala dan menjauhkan daripada
seksaan

3- seseorang mengerjakan amal ibadat supaya Allah memuliakannya di dunia.

Adakah Diterima Amalan Yang Bercampur Niat?

Pada perkara ini berlaku perselisihan pendapat antara ulama. Secara ringkasnya ia terbahagi kepada
tiga. Ada ulama mengatakan jika bercampur niat dengan perkara dunia maka amalan tidak akan
diterima dan inilah pendapat yang banyak dipegang oleh ulama’. Namun begitu ada ulama
mengatakan disyaratkan niat kepada akhirat melebihi daripada perkara dunia untuk diterima amalan
tersebut tetapi diberi pahala mengikut kadar ikhlasnya, jika sebaliknya maka tidak diterima.
Pendapat terakhir mengatakan diberikan ganjaran mengikut kadar ikhlasnya.

Tanda Ikhlas

Terdapat 3 tanda ikhlas yang disebutkan oleh Syeikh Zunnun al-Mashri

1 – Merasakan sama sahaja antara pujian dan celaan orang lain
2 – Melupakan amalan kebajikan yang pernah dilakukan
3 – Mengharapkan balasan amalan di akhirat

Tentang Ikhlas

“Meninggalkan amal kerana manusia adalah riya’ dan melakukan amalan kerana manusia adalah
syirik” – Fudhail bin ‘iyad

“Tanda pertama dari sebuah keikhlasan adalah keberadaanmu di hadapan orang ramai dan ketika
sendirian adalah sama” – Imam Al Ghazali

“Ikhlas adalah saudara muslim itu meniatkan setiap kata, tindakan dan jihad yang dilakukan hanya
untuk Allah, mencari keredaan dan ganjaranNya tanpa mengharapkan harta atau kemasyhuran atau
kedudukan atau pangkat atau kemajuan atau kemunduran” – Imam Hassan Al-Banna

“Ikhlas bukan hanya pada ibadat tetapi pada tiap amal dan perbuatan. Ikhlas menerima apa juga
hitam putih kehidupan ini, bukan hanya saat senang bahkan pada waktu-waktu sulit. Ia tidak mudah
tapi masih boleh dicapai. Bukan bererti apabila tidak ikhlas, kita tinggalkan amalan tersebut tetapi
beramal lah sehingga ikhlas itu datang kerana ia adalah satu anugerah. Mintalah kepadaNya supaya
tergolong dalam orang-orang yang ikhlas”

Pengajaran Hadis

1) Tidak sah amalan kecuali dengan niat.
2) Ganjaran adalah mengikut apa yang diniatkan. Maka niat lah yang baik untuk mendapat pahala
daripada Allah.
3) Galakan supaya ikhlas dalam ibadat. Sesiapa yang beramal kerana Allah maka amalannya akan
diterima dan sesiapa beramal kerana selain Allah maka tidak akan diterima.
4) Peringatan tentang dunia dan fitnahnya

RUJUKAN

1) Kitab al Jami’ fi Syarhi al Arbain an Nawawiah
2) Kitab al Jawahir al Luluiah fi Syarhil Arbain an Nawawiah
3) Kitab al Wafi fi Syarhi al Arbain an Nawawiah
4) Kitab Penawar Bagi Hati
5) Kitab Qolbun Salim Syarah Bagi Penawar Bagi Hati
6) Hasyiah al Bajuri ala al ‘Alamah Abu Qosim al Ghozzi

Like this article?

Share on facebook
Share on Facebook
Share on twitter
Share on Twitter
Share on linkedin
Share on Linkdin
Share on pinterest
Share on Pinterest

Leave a comment